Tuesday, January 26, 2010

Krisis air tahun in

Oleh TAUFEK RAZAK
berita@kosmo.com.my
26 Januari 2010

AMPANG – Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meramalkan akan berlaku krisis air pada tahun ini berikutan beberapa tanda awal kemarau yang semakin jelas di seluruh negara sejak akhir-akhir ini.

Ketua Penguatkuasaan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Ashwar Abd. Aziz berkata, pihaknya telah menerima beberapa aduan dari beberapa negeri yang sudah mula mengalami masalah kekurangan bekalan air yang kritikal.

“Hasil lawatan saya di utara dan timur Semenanjung baru-baru ini, menunjukkan paras air di loji-loji air di sana sudah semakin susut.

“Contohnya di Universiti Utara Malaysia (UUM), tahapnya jelas membimbangkan kerana keseluruhan kawasan di situ sudah mengalami masalah terputus bekalan air sejak beberapa hari lalu,” dedahnya selepas menghadiri majlis dialog tentang isu air kotor bersama penduduk Taman Dagang di sini semalam.

Ashwar berkata, hasil siasatan SPAN menunjukkan, loji bekalan air di UUM sudah tidak mampu menampung keperluan semasa penduduk sekitarnya.

“Jadi saya berharap mulai sekarang rakyat Malaysia bolehlah memikirkan untuk berjimat cermat menggunakan air. Kalau basuh kereta, janganlah sampai tertanggal cat,” katanya.

Menurut beliau, selain UUM, pihaknya turut menerima aduan kes terputus bekalan air di Kota Bharu, Kelantan membabitkan sebuah hospital kerana loji yang ada gagal membekalkan air.

“Anda boleh bayangkan bagaimana bayi yang baru dilahirkan di hospital boleh dibersihkan jika tiada bekalan air,” tegasnya.

Selain itu, katanya, ada kes yang dimaklumkan kepada pihak SPAN di mana jenazah terpaksa dimandikan menggunakan air sungai kerana terputus bekalan air.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan kawasan yang dimaksudkan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Post a Comment