Friday, December 4, 2009

Empat IPTA sedia diberi autonomi

Empat IPTA sedia diberi autonomi

3 Dis 2009

Oleh Khairul Anuar Abdul Samad dan Norliza Abdullah
bhnews@bharian. com.my

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi sedang memantau prestasi empat universiti penyelidikan yang dikenal pasti berpotensi diberi kuasa autonomi bagi memacu kecemerlangan pendidikan tinggi negara.

Universiti itu ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pemantauan itu bagi memastikan pengurusan universiti bersedia beroperasi secara bersendirian tanpa bergantung kepada kerajaan.



“Kerajaan sedia memberikan kuasa autonomi apabila puas hati masing-masing sudah bersedia dan mampu berdikari,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengiktirafan Pusat Perubatan UM (PPUM) oleh Malaysia Book of Records dan penganugerahan Pensijilan Akreditasi Makmal Perubatan MS ISO15189:2007 di Subang Jaya, semalam.

Pengiktirafan itu diberikan kepada Bahagian Perubatan Makmal Jabatan Patologi PPUM dengan Sijil Akreditasi Makmal MS/ISO bagi skop Patologi Kimia dan Hematologi.

Pengiktirafan akreditasi makmal oleh Jabatan Standard Malaysia itu mencerminkan keupayaan makmal patologi PPUM memberikan perkhidmatan ujian sahih, tepat, cekap, selamat dan berkualiti mengikuti standard kebangsaan.

Mohamed Khaled berkata, kuasa autonomi itu membabitkan tujuh perkara iaitu keputusan pentadbiran, kewangan, kebenaran menjana pendapatan, keputusan membelanjakan pendapatan, mengambil pelajar, perundangan dan pelantikan ahli akademik serta mengurangkan birokrasi.

Di KOTA BHARU, Mohamed Khaled berkata, kerajaan tidak bercadang menghentikan kemasukan pelajar asing ke negara ini kerana sektor itu menyumbang RM2 bilion hingga RM3 bilion kepada negara setiap tahun.

“Kemasukan pelajar asing ditentukan kementerian selepas mendapat kelulusan polis, Jabatan Imigresen dan pusat pengajian terbabit bagi memastikan mereka yang memasuki negara ini adalah pelajar tulen,” katanya selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Universiti Malaysia Kelantan (UMK) 2008, kelmarin.

http://www.bharian. com.my/Current_ News/BH/Friday/ Nasional/ 20091204004911/ Article/index_ html