Saturday, September 26, 2009

Merdeka Kini dan Selamanya (Bahagian Akhir)

Bunyinya memang agak kebiasaan dan selalu diwar-warkan oleh semua orang. Akan tetapi, kehendak rakyat yang mahu melihat negara aman sejahtera, bebas merdeka dari cengkaman kuasa fizikal mahupun secara halus, bebas rasuah dan sebagainya adalah suatu realiti yang tidak harus dipertikaikan. Ianya dimaksimumkan, bukan sekadar pemuas hati rakyat yang menunjukkan keberhasilannya penerimaannya adalah minima. Penyelesaian yang menerima sokongan ramai menerusi usaha bersama-sama dengan pembangkang. Begitu juga dengan Wawasan 2020 yang mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara maju kelak. Wawasan seorang negarawan atau wawasan rakyat Malaysia? Maju yang bagaimana? Dengan kedudukan negara yang terjerumus dalam krisis ekonomi global, mengakibatkan proses pemulihan kini sedang perlahan mengikut perkiraan MIER, mampukah impian negara menjelang tahun 2020 dipenuhi?

Atau maju dilihat berdasarkan pembangunan yang dijanjikan; menarah bukit dan gunung, memunggah keluar semua kekayaan hasil bumi untuk kepentingan diri, keluarga dan kroni, kemewahan yang menunjuk-nunjuk, penduduk asal yang dinafikan hak dan tidak diberikan peluang perundingan yang adil sepertimana yang berlaku keatas masyarakat Dayak di Sarawak dahulu dan sekarang. Seorang Bidayuh seperti saya turut terpanggil untuk menyeru seluruh warga negara supaya menolak agenda kotor pembangunan tersebut. Bagaimana pula dengan sistem pendidikan nasional? Sedangkan Bahasa Melayu dinodai oleh rakyat Malaysia sendiri, gara-gara ingin memperkasakan misi sains dan teknologi negara. Anak-anak bangsa mangsa eksperimen dasar PPSMI berikutan objektifnya tidak kesampaian, walaupun dasar tersebut akan dihapuskan pada tahun 2011. Lagi pula, tiada permohonan maaf rasmi kerajaan diumumkan. Fahaman mercenary berterusan menguasai dunia ilmu pendidikan sekaligus mengkhianati tulisan janji falsafah pendidikan nasional kepada anak bangsa diatas dinding bangunan sekolah. Perlunya syarahan novelis Inggeris Dorothy Sayers (1947) yang bertajuk "The Lost Tools of Learning" direnungi semula oleh kerajaan agar agenda memperkasakan sistem pendidikan nasional tidak bercanggah dengan falsafah pendidikan. Pendidikan harus mendidik jiwa dan minda rakyat terus merdeka, jangan sesekali membelakangi falsafah pendidikan dengan menekan, mencengkam aliran kebebasan berfikir rakyat.

Maju, tanpa didorong oleh roh perpaduan, kedaulatan undang-undang yang ditunjangi rakyat dan keluhuran Perlembagaan tidak akan membawa sebarang makna. Sesetengah penganalisis politik pernah mencatatkan golongan muda sudah hilang kepercayaan terhadap sistem yang ada sekarang, terutamanya selepas PRU12. Mereka juga berfikir fenomena itu hanyalah sesuatu yang bersifat sementara dan lebih merupakan kenyataan geram dan tidak puas hati terhadap kepincangan dan ketidakadilan yang kelihatan sekarang. Peristiwa ini berlarutan, berpanjangan, adakalanya melibatkan tafsiran Perlembagaan; bermula dengan krisis politik Perak sehinggalah perhimpunan awam di jalanan. Keyakinan terhadap Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen di suatu tahap mulai hambar apabila wujud ketidaksempurnaan sistemnya. Bukan saya ahli politik mahupun ahli undang-undang, tetapi pada pengalaman saya di Bukit Gantang bersama-sama rakan seangkatan misalnya, rakyat tersepit diantara dua kem politik, ada yang mempersoalkan kuasa Sultan, Perlembagaan Negeri dicacatkan dengan fahaman politik kepartian. Lebih parah, isu-isu perkauman diapi-apikan melalui kempen ceramah, risalah yang dikemukakan. Maka, saya berpandangan terdapat kelompangan tafsiran Perlembagaan yang mampu menjurus kepada ketidakstabilan politik. Hanya dengan amalan politik yang bijaksana sahaja dilihat boleh merungkai permasalahan tersebut. Samalah pengertiannya dengan gagasan Politik Baru yang dicetuskan oleh Saifuddin Abdullah. Politik ilmu vs Politik ampu, Politik Hikmah vs Politik Fitnah, Politik Bakti vs Politik Undi. Kanun Perlembagaan bukan milik hakim. Kanun Perlembagaan juga bukan milik peguam. Kanun Perlembagaan juga bukanlah milik penuh parti-parti politik. Kanun Perlembagaan milik rakyat Malaysia. Semua pihak dalam masyarakat sivil, badan-badan bukan kerajaan, mahasiswa-mahasiswi, persatuan-persatuan nelayan, pekebun getah, peladang, guru-guru termasuklah warga pribumi berupaya menjadi ‘hakim sehakim hakimnya’ dalam keadaan kejahilan, keberantakan politik ekonomi negara. Adakalanya, lebih baik daripada hakim-hakim yang menduduki Istana Keadilan. Justeru itu, inilah sebab penting mengapa rakyat perlu mengambil tahu tentang Perlembagaan negara.

Pendirian lain yang juga ingin dikupas adalah prinsip negara hokum, kedaulatan undang-undang (rule of law) yang amat berkait rapat dengan amalan demokrasi. Kemerdekaan negara selama 52 tahun harus diisi dengan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman, kerajaan dan perundangan. Harapan yang sama diungkapkan oleh Zaid Ibrahim (2007) dalam "In Good Faith". Tamatkan segera campurtangan eksekutif yang tidak berhemah dalam cabang kehakiman, institusi penguatkuasaan, perundangan dan pendakwaan. Pengiktirafan segera teori dan amalan kebebasan asasi sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Lihat sajalah beberapa laporan antarabangsa yang merujuk Malaysia dalam posisi hak asasi manusia yang tercalar dek kepincangan kedaulatan undang-undang. Tahanan perhimpunan awam, tahanan ancaman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mati dalam tahanan polis, saksi mati di luar premis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), penyeludupan manusia di sempadan yang didakwa dalam Laporan Jabatan Luar Negara Amerika Syarikat 2009, sehinggalah kepada skandal Pelabuhan Klang (PKFZ). Sekadar mengharapkan prestasi ekonomi dan reformasi perniagaan, menarik pelaburan asing tidak lagi memonopoli persepsi Laporan Daya Saing Forum Ekonomi Dunia 2009 (WEF), tetapi rekod hak asasi, kualiti hidup, perpaduan kaum, urustadbir baik, keselamatan juga, menurut komentar terbaru oleh Tan Sri Ramon Navaratnam dari Pusat Kajian Dasar Awam, ASLI.

Hanya dua bulan lepas, di ibunegara, ribuan rakyat berhimpun berarak sepanjang laluan utama melaungkan Mansuhkan ISA. Golongan siswa, badan-badan bukan kerajaan dan rakyat umumnya menolak kuasa arbitrari Akta tersebut yang terbukti mencabul kebebasan asasi manusia. Manakan tidak, ahli politik serta wartawan yang vokal turut ditahan tanpa bicara! Sekali lagi, mereka dibebaskan tanpa pengumuman maaf rasmi kerajaan. Rakyat bersenjatakan mulut, pihak polis bersenjatakan gas pemedih mata, cota dan meriam air; masing-masing menjalankan amanah. Menariknya, bukanlah jumlah yang menyertainya, akan tetapi bagaimana semangat true believers diterjemahkan dalam bentuk tuntutan, tindakan. Bangsawan Perancis, Alexis de Tocqueville pernah menyebut mengenai keghairahan politik yang tidak dibendung disebabkan oleh perasaan serta keazaman dikongsi oleh jutaan rakyat pada satu-satu masa.

Teliti kembali fungsi asal Akta ini. Teliti kembali amanah dan janji oleh Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman ketika menguatkuasakan Akta tersebut. Tidak pula didedahkan tinjauan umum mengenai kewajaran mansuhkan ISA kepada rakyat? Sekiranya diselidiki dalam laman sesawang Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini menunjukkan luahan hati rakyat,

1. 88 peratus rakyat mengatakan ISA adalah undang-undang zalim
2. 89 peratus rakyat bersetuju ISA diketahui melalui pembacaan
3. 89 peratus rakyat faham mengenai ISA
4. 47 peratus rakyat bersetuju ISA tidak memberi apa-apa makna walaupun mengetahui Amerika dan Britain juga mempunyai undang-undang pencegahan
5. 93 peratus rakyat bersetuju ISA harus dimansuhkan.

Pada masa yang sama, ramai pula berhujah bahawa kebebasan asasi didukung oleh Deklarasi Universal. Saya maksudkan Artikel 9 mengatakan "Tiada seorang pun boleh ditangkap, ditahan atau dibuang negeri secara sewenang-wenangnya" Namun demikian, jarang-jarang sekali Artikel 30 disensasikan ‘Tiada mana-mana negara, kumpulan atau orang mempunyai apa-apa hak untuk mengambil bahagian dalam sesuatu aktiviti atau melakukan sesuatu perbuatan yang ditujukan untuk merosakkan mana-mana hak dan kebebasan yang dinyatakan disini" Anehnya, Artikel 30 menjadi baying-bayang kepada Artikel 9. Soalnya, ambil inisiatif, bertindak sebagaimana Peter Drucker (1980) menulis "One cannot appease the paranoid; the attempt only confirms his suspicions"

Sekatan-sekatan yang diletakkan diberi tafsiran yang lebih luas, bertanggungjawab selaras dengan hokum demokrasi. Kebebasan hadir dengan tanggungjawab. Penambahbaikan kedaulatan undang-undang akan mengadili seluruh aspek sistem negara dengan baik; mengabaikan undang-undang rimba yang memenangkan kelompok yang kuat dan berkuasa semata-mata. Sarjana politik Amerika, Greg Foster (2009) mengulangi pendirian ahli filasuf Roman klasik Cicero yang memahami definisi komuniti politik iaitu sekumpulan individu yang berkongsi kerasaan keadilan, berkongsi kerasaan pegangan idea keadilan dan berkongsi komitmen yang kukuh terhadap keadilan. Teguhnya ekspresi Cicero, melambangkan kekuatan penolakannya lambang individu bergelar tyrant

Lanjutan daripada itu, akauntabiliti dan ketelusan mula mencerminkan niat keikhlasan kerajaan dalam mentadbir negara. Dengan tuntutan ini, para pemimpin politik yang dipilih rakyat mesti memberikan komitmen penuh dengan mewujudkan ‘sense of urgency’ untuk menggerakkan negara keluar dari zon selesa. Tergendalanya usaha-usaha ini bermakna kepercayaan rakyat tergantung, akhirnya kerajaan dihukum ala Parti Liberal Demokratik Jepun (LDP) pimpinan Taro Aso tumbang ditangan Yukio Hatoyama (Parti Demokratik Jepun). Tergantungnya kepercayaan rakyat seolah-olah rakyat bernyawa diselamatkan kerajaan. Perubahan politik Jepun menunjukkan sebaliknya, nyawa kerajaan terletak pada kedaulatan rakyat.
HORNBILL SKYWAYS

No comments:

Post a Comment