Thursday, September 3, 2009

Merdeka Kini dan Selamanya (Bahagian 1)


««««««««««
"We confess that we had our doubts at first whether the patriotism of our people were not too narrowly provincial to embrace the proportions of national peril. We felt an only too natural distrust of immense public meetings and enthusiastic cheers"
-James Russell Lowell-
««««««««««
Gema merdeka berulang lagi buat kali 52. Hampir lima dekad, suatu usia yang dianggap panjang perjalanannya, cukup berpengalaman bagi sesebuah negara sedang membangun seperti Malaysia. Maknanya, rakyat seharusnya menuju kearah kematangan permikiran tatkala dibimbing oleh pengalaman suka duka negara tempuhi sebelum dan selepas kemerdekaan ala Orwell diperoleh. Kesedaran gerakan kemerdekaan yang didasari oleh kebangkitan rakyat setelah ditaja oleh kuasa asing selama 400 tahun tidak boleh dipertikaikan lagi. Apabila satu persatu negara Asia dalam era kebangkitannya memperjuangkan kemerdekaan masing-masing pelbagai strategi daripada penjajah. Begitu juga Malaysia, banyak terpengaruh dengan anasir-anasir kejiranannya. Jan Romein (1962), sejarawan Belanda melagukan idealism zaman ini dalam bukunya, The Asian Century dimana pada halaman 29, beliau menulis

"…Asian nationalism awakened by Western imperialism has roused millions from their centuries- long sleep and so warned the world of a new stage of development. The imperialism of Western industrial states has swept over the tropical countries like a flood destroying great cultures in its foaming course, reducing the peoples to a great mass of the exploited, but from the mud which high water leaves behind there arises nationalism from which comes a new culture, a new society, as soon as the flood subsides. May it be seen that a liberated Asia will be able to do what the West could not do, reap the benefits of modern production technology without getting entangled in the works of its own machines"

Kita lupakan sejenak kisah-kisah berdarah para pejuang tentera polis terdahulu. Usahlah juga, kita mengimbau kembali sejarah yang pernah didakwa ditulis oleh kelompok yang menang. Perlu kita rakamkan semula adalah Permasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu oleh Tunku Abdul Rahman pada tahun 1957. Ia perlu disegarkan, dipopularkan selari dengan dendangan lagu-lagu patriotik negara. Salah satu perenggan dalam teks tersebut yang amat signifikan wajar dihayati setiap hari, setiap kali negara menyambut kemerdekaan. Wacana ini akan memperluaskan perbicaraan merangkumi hak tradisi, hak asasi dan demokrasi bertunjangkan intipati tersirat Permasyhuran tersebut

"Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berpelembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen"

Sebaliknya, biasa dan seakan-akan membentuk suatu budaya tanpa makna yang signifikan pada waktu Jalur Gemilang megah berkibar di perkarangan kediaman, pejabat atau deretan kedai perniagaan, bangunan kerajaan di seluruh negara. Sesetengah Menteri dan politikus pula menulis dan mengucapkan sejarah fahaman politiknya dalam konteks yang amat sempit. Moga-moga, kebijakan rakyat umum dapat menilai kemerdekaan negara dengan terbuka dan objektif. Konkongan sejarah menerusi satu aliran fikiran sahaja, tidak mampu menjadikan rakyat bersikap matang dan faham sejarah. Dalam perkara ini, saya ingin menegakkan pendirian Kassim Ahmad (2005) bahawa "tugas pimpinan negara ialah mendidik rakyat berfikiran waras dan rasional, mengarah kepada kebaikan. Malangnya, dalam masyarakat kita, lebih banyak kali pemimpin menjadi pengikut serta membenarkan diri mereka hanyut dalam emosi negatif yang tiada kesudahannya"

Saya berpandangan relevannya tarikh keramat ini adalah menerima perpaduan kaum yang hanya dihayati dengan menjunjung tinggi Perlembagaan Persekutuan serta menerima pakai amalan prinsip demokrasi. Kita ingin memerdekakan institusi kehakiman, perundangan dan kerajaan dari nafsu kekuasaan tidak terbatas. Tidak lain, tidak bukan pengutamaan prinsip negara hokum (rule of law) yang bermaruah, berintergiti dan berupaya meningkatkan daya tahan sesebuah negara dalam gelombang globalisasi. Ruang kesempatan untuk saya menyelak kertas kerja seminar akademik ‘Federalism in Malaysia: The Transformative Potential of Democratic Politics in a Culturally Diverse Polity’ oleh seorang ahli akademik Universiti Sains Malaysia pada tahun 2006 telah membicarakan persoalan ‘rule of the people’ yang disesuaikan dalam konteks demokrasi Perlembagaan Persekutuan. Pidato Gettysburg agung pada tahun 1863 dari seorang negarawan Amerika, Abraham Lincoln terbukti telah meninggalkan kesan yang amat mendalam, baik kepada pendengarnya mahupun pengkajinya sepanjang zaman. Terkesan sehingga kaum tradisi Bantu di Afrika Selatan mengalihkannya kepada bahasa ibundanya ‘umuntu ngumuntu ngabantu’ (we are the people through other people).

Saya tidak menolak dalam soal perpaduan kaum, lubuk sensitivitinya antara melayu, cina, india, iban, bidayuh, kadazan…..sering dimanipulasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Media kebanyakkannya yang dikawal oleh kelompok oligarki parti mengambil kesempatan atas kealpaan rakyat dengan melaga-lagakan, mangapi-apikan sesama kita. Umpamanya, saya mengamati amaran tragedi 13 Mei 1969 dipertontonkan kepada ramai bahawa sejarah tersebut mampu berulang, kononnya apabila satu-satu kaum dicabar hak keistimewaannya dalam soal pembahagian ekonomi, politik dan sosial. Acara menghunus keris dan pelbagai tindak tanduk politikus yang ingin meraih sokongan politik murahan adalah bentuk manifestasi yang menjelekkan rakyat. Ini langkah mundur, bukan langkah maju. Perbedaan antara kita adalah kelemahan pada pandangan mereka, tetapi tidak kepada perbedaan bercirikan kelebihan yang mana menjadikan Malaysia cukup unik di dunia. Saya ingin mengutip pandangan pemimpin Soviet Mikhail Gorbachev dalam syarahan nobelnya pada tahun 1991 "Peace is not unity in similarity but unity in diversity, in the comparison and conciliation of differences". Justeru itu, syarat perpaduan kaum bermatlamatkan keamanan yang berkekalan sekaligus menolak politik perkauman yang diamalkan oleh kelompok-kelompok tertentu.

Pemikiran jumud tersebut harus dikritik dan dikutuk- komitmen politik yang utuh diyakini mampu mewujudkan suatu perubahan sikap, mentaliti dan dasar. Barangkali, tokoh berjiwa besar Afrika Selatan Nelson Mandela yang pernah dipenjarakan selama 27 tahun boleh membantu kita memahami model kerajaan pelangi pada tahun 1994. Sistem pentadbirannya, berkulit hitam dan putih, beragama Islam, Kristian, Hindu, berfahaman liberal, konservatif mahupun komunis. Yang menarik perhatian, pidatonya pada tahun 1963 amatlah menyedarkan kita peri pentingnya perpaduan "…I have cherished the ideal of a democratic and free society in which all persons live together in harmony and with equal opportunity". Kita menggalakkan perbincangan terbuka sesama kita dalam pelbagai topik, termasuklah isu agama. Alasan sensitiviti rakyat alaf baru ini tidak lagi wajar ditimbulkan. Kekeliruan dan kekalutan telahpun berlaku. Bukan salah perbahasan terbuka, tetapi rumusan dasar dan pendekatan yang salah, tegas Kassim Ahmad. Hanya ini, satu titik persefahaman dan semangat persahabatan dapat dicapai. Lantas, saya percaya kerajaan akan mengambil pendekatan yang lebih telus dan kolektif dalam memutuskan satu-satu perkara berbangkit. Berpegang kepada saranan bijaksana tersebut, maka tidak perlu ada kebimbangan unsur-unsur tradisi termasuklah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan diragui lagi. Dan pada masa yang sama, kita harus menolak penyalahgunaan Perkara 153 untuk memperkayakan diri, keluarga dan kroni manakala menafikan yang berhak dan berkelayakan. Ataupun, ia sampai menjejaskan kepentingan kaum lain sedangkan ini semua termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bersambung…..
Hornbill Skyways

No comments:

Post a Comment